DisiplinThis is a featured page

LAPORAN 1

Sejak kebelakangan ini berbagai cerita tentang isu yang berkaitan tentang masalah disiplin di sekolah telah ditimbulkan. Pelajar merokok, melawan, kurang ajar, ponteng dan sebagainya. Masalah ini berlaku tidak kira samada di sekolah bandar atau luar bandar maupun sekolah biasa atau sekolah berasrama penuh. Sikap para pelajar sekarang ada yang menjangkau fikiran kita.
Sebenarnya terdapat beberapa pihak yang perlu bertanggungjawab tentang masalah disiplin ini termasuklah para pelajar sendiri, para guru, ibubapa, masyarakat serta kerajaan. Ketika ini apabila berlaku sesuatu insiden dengan mudahnya semua orang menunding jari ke arah guru. Sepatutnya setiap kes diteliti supaya punca kejadian itu dapat dikenalpasti. Selepas itu satu kajian yang lebih menyeluruh mesti dibuat bagi mencari ke akar umbi faktor yang menyumbang kepada berbagai masalah disiplin pelajar masa kini. Para pelajar sekarang terdedah dengan pelbagai perkara di sekeliling mereka.
Bahan bacaan, televisyen, wayang, internet, kawan, keluarga dan persekitaran masyarakat adalah antara yang banyak memainkan peranan dalam pembentukan peribadi seseorang itu. Ini termasuk keadaan dunia yang tanpa sempadan kini menyaksikan pelbagai pengaruh dari luar menjajah minda para pelajar sekarang. Walaupun begitu institusi keluarga dan sahabat merupakan sumber yang paling rapat dapat mempengaruhi pelajar. Institusi keluargalah bermulanya peranan ibubapa mencorak kehidupan anak-anak yang dilahirkan bagai kain putih. Guru yang pertama seorang insan adalah ibubapa dan keluarganya sendiri. Seorang bayi akan belajar dengan melihat dan mencuba apa yang dilakukan dan disebut oleh orang di sekelilingnya.
Oleh kerana keperluan kehidupan ibubapa terpaksa bekerja maka anak-anak kecil ini sehinggalah ke peringkat remaja biasanya diasuh oleh pembantu rumah. Oleh itu amat penting bagi ibubapa melengkapkan diri dengan ilmu keibubapaan supaya dapat membesar dan mendidik anak dengan lebih sempurna. Ini perlu memandangkan ibubapa yang bekerja mempunyai masa yang terhad bersama dengan anak-anak. Masa yang singkat ini perlulah dimanfaatkan dengan sebaik mungkin supaya kasih sayang dan kemesraan kekeluargaan itu dapat dieratkan. Sifat berdisiplin, akhlak yang mulia, budi yang pekerti serta patuh kepada ajaran agama semuanya perlu di semai dari rumah lagi.
Seterusnya dipupuk di sekolah dan di semarakkan oleh masyarakat. Ibubapa sendiri perlulah menjadi teladan yang terbaik kepada anak-anak. Sekolah dan masyarakat juga perlu sama-sama mewujudkan suasana yang positif kepada perkembangan jati diri para pelajar yang meningkat remaja dan dewasa. Kerajaan khususnya Kementerian Pelajaran pula perlu membuat satu kajian yang menyeluruh berkenaan dengan sistem pendidikan dan peraturan sekolah yang sedia ada.
Ketika ini sistem sekolah lebih menjurus kepada kecemerlangan akademik tetapi kurang ke arah kecemerlangan sahsiah. Ini dapat dilihat masalah disiplin dan moral juga ketara di sekolah sekolah berasrama penuh walaupun mereka yang belajar di situ terdiri dari mereka yang terpilih. Jelaslah masalah disiplin pelajar ini akan hanya dapat dibendung jika semua pihak yang terbabit memainkan peranan masing-masing.
Cuba fikirkanlah apa yang akan terjadi kepada negara kita yang tercinta ini jika mereka yang bijak tetapi tidak mempunyai jati diri serta rosak akhlaknya menjadi pemimpin. Menjatuhkan hukuman semata-mata tidak akan menyelesaikan masalah.
Mereka yang mempunyai masalah disiplin dan moral ini sebenarnya sedang sakit. Samada sakit jiwa, sakit hati, sakit fikiran atau sakit rohaninya. Mereka yang sakit perlu dirawat supaya dapat pulih semula. Mereka yang terjatuh perlu dibantu untuk bangun semula. Mereka yang tersesat perlu dibimbing ke pangkal jalan.
LAPORAN 2
Sessi sekolah bagi tahun ini baru sahaja bermula 3 minggu tetapi sudah ada beberapa kes masalah disiplin pelajar. Difahamkan seramai lebih 3,500 orang pelajar telah dibuang sekolah pada tahun lepas dan lebih 7,500 orang pelajar lagi telah digantung persekolahan mereka di seluruh negara. Sebahagian besar daripada yang dibuang sekolah ini adalah mereka yang terlibat dengan kesalahan ponteng sekolah.

Seorang pelajar tingkatan tiga, K.Yazhovan telah mati selepas terjatuh dari tingkat dua bangunan sekolahnya baru-baru ini. Pihak polis mengklasifikasikan kes ini sebagai kematian mengejut walaupun begitu mereka akan tetap melakukan siasatan. Beberapa pelajar Sekolah Menengah Seksyen 1, Bandar Kinrara, Puchong yang menyaksikan kejadian itu akan dipanggil untuk memberi keterangan.

Yashovan yang berumur 15 tahun dilaporkan terjatuh dari tingkat dua sekolahnya pada pukul 10:30 pagi dan mengakibat dia cedera parah di kepala telah dikejarkan ke Hospital Serdang sebelum dipindahkan ke Wad Neurologi Hospital Kuala Lumpur. Dia meninggal dunia selepas langsung tidak sedarkan diri semenjak dimasukkan ke hospital.

Beberapa persoalan telah timbul dengan kejadian yang menimpa anak tunggal ini. Pertamanya adakah kejadian ini merupakan satu kemalangan atau memang disengajakan? Lebih-lebih lagi Yashovan ada mengadu dia pernah dibuli semasa di sekolah. Sementara itu beberapa pelajar yang melihat kejadian itu memberitahu bapa Yashovan bahawa anaknya telah dibiarkan terbaring hampir sejam sebelum seorang kakitangan sekolah bertindak menelefon ambulan.

Satu lagi kejadian di Gombak seorang ketua pengawas telah dipukul oleh beberapa orang pelajar sehingga cedera anggota badan dan menerima beberapa jahitan di kepala. Difahamkan ketua pengawas ini telah mengambil nama pelajar ini yang datang lewat ke sekolah pada pagi kejadian.

Selepas tamat waktu persekolahan pada hari itu, pelajar ini bersama-sama beberapa rakannya yang menaiki motor telah menahan ketua pengawas berkenaan di luar pagar sekolah. Mereka telah beramai-ramai memukul dan ada yang menggunakan besi pengunci motor. Laporan polis telah dibuat dan siasatan sedang dijalankan.

Di Sungai Buloh pula seorang pelajar tingkatan satu telah dibelasah oleh sekumpulan pelajar tingkatan dua dan tiga. Kejadian berlaku semasa Muhammad baru sahaja keluar sekolah untuk pulang ke rumah bila dia tiba-tiba dikerumuni, ditengking dan dipukul beramai-ramai. Muhammad telah dipukul dan ditendang sehingga lebam-lebam dan pakaian sekolahnya koyak.

Pelajar-pelajar ini menuduh Muhammad menjeling mereka dan mengugut supaya tidak melaporkan kejadian itu jika tidak mahu mereka memanggil pelajar tingkatan lima pula memukul dia. Walaupun begitu mangsa dan ibunya telah membuat laporan polis sebelum mendapatkan rawatan di hospital. Apabila ibu Muhammad memberitahu hal itu kepada pengetua sekolah, beliau berkata tidak dapat berbuat apa-apa kerana kejadian berlaku di luar kawasan sekolah.

Ini seolah-olah menunjukkan suasana di sekolah dan perjalanan balik dari sekolah tidak selamat. Satu kajian dan tindakan susulan perlu dilakukan bagi mengenal pasti punca asal kelemahan tahap disiplin para pelajar masa kini. Mungkin ada mengatakan, ini kejadian terpencil tetapi jika dibiarkan pasti menjadi barah yang boleh merosakkan keseluruhan institusi pendidikan.



No user avatar
roszelan
Latest page update: made by roszelan , Apr 3 2008, 5:02 AM EDT (about this update About This Update roszelan Edited by roszelan


view changes

- complete history)
Keyword tags: None
More Info: links to this page
There are no threads for this page.  Be the first to start a new thread.